Tuesday, March 2, 2010

Hawa

Renungkanlah Hawa

By : everjihad

From: www.iluvislam.com

Wahai Hawa,

Sedarkah kau sebelum kedatangan Islam, kita dizalimi, hak kita dicerobohi, kita ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis oleh kaum Adam, tiada nialian dimata Adam, kita hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini, bila rahmat Islam menyelubungi alam bila sinar Islam berkembang, darjat kita diangkat, maruah kita terpelhara, kita dihargai dan dipandang mulia dan mendapat tempat di sisi Allah s.w.t sehingga tiada sebaik-baik hiasan didunia melainkan wanita solehah

Wahai hawa,

Engkau tidak menghargai nikmat Iman dan Islam itu? Kenapa engkau kaku dalam mentaati ajaranNya? Kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya? Dan kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya?

Wahai hawa,

Tangan yang menggoncang buaian bisa menggoncang dunia! Seadrlah hawa kau bisa menggoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni yang soleh solehah. Kau bisa menggoncang dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam dimata dunia. Tapi Hawa jangan sesekali kau cuba menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentakkan kakimu untuk menyatakan kehadiranmu..

Jangan Hawa!

Jangan sesekali cuba menarik perhatian Adam yang bukan suamimu! Jangan sesekali mengoda Adam yang bukan suamimu, kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah s.w.t . tetapi memberi kegembiraan kepada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan, alat yang dieksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam.

Hawa,

Andai kau masih remaja, jadilah anak yang solehah kepada kedua ibu bapamu.

Andai kau sudah bersuami, jadilah isteri yang meringankan beban suamimu.

Andai kau seorang ibu, didiklah anakmu. Sehingga ia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah s.w.t

Hawa,

Andai kau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu. Ingatlah Hawa janji Allah, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan menggadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki. Jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya tetapi meransang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, dari senyuman membawa kepada salam, dari salam cenderung membawa ke pertemuan dan dari pertemuan, takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,

Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak melihat wanita melalui keseksiannya. Lelaki yang warak tidak melihat wanita melalui keayuannya, kemanjaanya, serta kemampuann mereka menggoncang nafsu mereka.. tetapi Hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberikan kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta sebabnya dia tahu matlamat sebuah hubungan lelaki dan wanita yakni perkahwinan.

Oleh itu Hawa,

Jagalah pandanganmu. Jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu dan tetapkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta Adam buatmu, cukuplah hanya cinta Allah yang menyinari dan memenuhi jiwamu. Biarlah hanya cinta kedua ibu bapamu yang memberi kehangatan kebahagiaanmu buat dirimu. Cukuplah sekadar cinta adik beradik dan keluarga yang membahagiakanmu.

Hawa,

Cintailah Allah dikala senang dan susah kerana kau akan memperoleh cinta insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan memperolehi keredhaan Allah. CIntailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga.

Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang menggoncang buaian ini bisa menggoncang dunia dalam mencapai keredhaan Illahi. Jangan sesekali tangan ini juga menggoncang keimanan kaum Adam, kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya.

0 comments: